PENJUALAN AGUSTA OLEH PROTON

Oleh Tun Mahathir Mohamad

1. Saya mengaku saya cuma mempunyai pengetahuan yang sedikit mengenai perakaunan syarikat. Tetapi saya tahu bahawa perakaunan kreatif boleh membuat kerugian diperlihatkan sebagai keuntungan didalam buku-buku akaun.

2. Samada kos itu tenggelam atau tidak ia masih melibatkan kos didalam bentuk wang yang nyata (bukan nombor-nombor yang terdapat didalam buku-buku akaun).

3. Apabila pentadbiran Proton yang lalu membeli 57% saham M.V. Agusta, mereka menyedari masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat tersebut. Siapakah yang akan menjual sebuah syarikat yang membuat keuntungan berlipat ganda? Jika mereka mahupun, harganya sudah pasti tidak dapat kita penuhi.

4. Hutang M.V. Agusta telah dikurangkan hasil perundingan dengan bank-bank. Pembayaran akan dibuat secara berkala.

5. Kos pembelian saham sebanyak 57% adalah 76 juta Euro + 57% dari 107 juta Euro (hutang M.V. Agusta).

6. Disamping itu, M.V. Agusta mempunyai aset didalam bentuk bangunan dan stok bernilai 120 juta Euro dan 57% dari itu adalah 68 juta Euro dan ini akan menjadi kepunyaan Proton jika dijual pada ketika itu.

7. Jika diambil nilai bolehkira M.V. Agusta sahaja, Proton memiliki 144 juta Euro.

8. Inilah apa yang telah dijual oleh Proton kepada Gevi SpA dengan harga 1 Euro, walaupun hutang-hutang itu diambilkira.

9. Menimbulkan mengenai hutang 107 juta Euro (dimana bahagian Proton adalah 60 juta Euro) dan kemudiannya memperlihatkan bahawa bebanan 107 juta Euro itu boleh berubah menjadi keuntungan yang luarbiasa cuma dengan menjual M.V.Agusta dengan harga 1 Euro kelihatan sebagai satu muslihat perakaunan, digunakan untuk menipu pemegang saham minoriti.

10. Katakanlah keuntungan yang diperlihatkan oleh cara perakaunan ini adalah benar, Proton masih lagi kerugian 144 juta Euro - 107 juta Euro (seperti yang disebutkan oleh pengulas chedet.com) = 37 juta Euro (kira-kira RM 190 juta).

11. Cara mana sekalipun diputar, Proton mengalami kerugian apabila menjual dengan 1 Euro sesuatu yang dibelinya dengan harga 76 juta Euro.

12. Mengapa beli M.V.Agusta? Tanyalah BMW dan Harley-Davidson. Mereka kelihatannya percaya nilai M.V.Agusta itu lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh Proton.

13. Pembelian teknologi tidak sama dengan pembelian keseluruhan syarikat pengeluaran termasuk pekerjanya, keupayaan pengeluaran, keupayaan rekabentuk dan penyelidikan dan kualiti daripada pengalaman salah satu syarikat pengeluaran motorsikal yang paling moden. M.V.Agusta untuk motorsikal adalah seumpama Ferrari untuk kereta lumba dan kereta sport. Namanya (brand) sahaja pun mempunyai nilai yang amat tinggi.

14. Teknologi bukanlah sesuatu yang statik. Ianya perlu ditingkatkan sepanjang masa. Kita perlu mempunyai keupayaan menaikkan teknologi sepanjang masa. jika kita mahu terus berada didalam pasaran. Kita perlu berkembang dan belajar bagaimana mahu berkembang di masa akan datang. India membeli teknologi Morris Oxford pada tahun 1956 dan kereta itu tidak berubah mahupun ditingkatkan sehingga kini, tahun 2008. Cuma mutakhir ini India bekerjasama dengan industri Jepun untuk belajar bagaimana kereta moden dibuat.

15. Orang Itali telah gagal didalam pengurusannya. Proton mempunyai pengalaman di dalam pengurusan. Pada ketika itu Proton adalah sebuah syarikat yang amat berjaya dan mempunyai keuntungan yang banyak dengan wang tunai terkumpul sebanyak 4 billion ringgit. Ia telah membina di Tanjong Malim sebuah kilang yang paling canggih bernilai 1.8 billion ringgit yang dibina tanpa meminjam mahupun mendapat suntikan dana daripada Kerajaan. Tunai di tangan melebihi RM2bilion.

16. Pengurusan Proton agak berkeyakinan yang ia boleh memulihkan syarikat tersebut. Ia bersedia untuk menyuntik modal pusingan. Saya mempunyai keyakinan terhadap Proton dibawah Tengku Mahaleel.

17. Bagi pihak saya, saya berminat untuk membawa teknologi enjin berkuasa kecil ke Malaysia. Terdapat kemungkinan merekabentuk serta mengeluarkan kereta yang benar-benar murah, berharga sekitar RM10 ribu hingga RM15 ribu dengan menggunakan enjin motorsikal dan komposit. Kita juga mungkin dapat mengeluarkan enjin untuk generator set, outboard dan mesin potong rumput. Tetapi, pengurusan yang baru tidak ada dayafikir untuk menggunakan kepakaran M.V. Agusta, akibatnya India yang berjaya mengeluarkan kereta yang murah.

18. Hari ini Proton tidak lagi gah seperti dahulu. Ini bukan kerana ianya tidak berkeupayaan untuk bersaing dengan kereta luar yang diimport tetapi kerana pengimport kereta asing masih tidak isytihar nilai sebenar.

19. Mereka menubuhkan syarikat di United Kingdom dan tempat lain, membeli kereta-kereta dan mendaftar kereta-kereta disana dan kemudiannya mengeksport semula kereta-kereta itu sebagai kereta terpakai ke Malaysia. Sudah pasti harganya rendah dan cukai yang dibayar turut rendah.

20. Proton sepatutnya boleh bersaing jika persaingan itu adil. Tetapi keadaannya tidak sedemikian.

21. Saya diberitahu ramai jurutera-jurutera yang berpengalaman telah meninggalkan Proton.

22. Mungkin ramai rakyat Malaysia merasa bangga melihat industri otomotif negara yang masih muda ini hancur. Saya tidak tahu. Tetapi saya tidak.

Comments

Anonymous said…
Test

Popular Posts