Isu Ekonomi: Siapa Hendak Kita Percaya?

Oleh A Kadir Jasin
http://kadirjasin.blogspot.com/

KALAU kita sudah puas atau sudah jemu dengan cerita bunuh, liwat, lewat, akuan bersumpah, tangkapan ala-Swat dan macam-macam lagi cerita sensasi, elok kalau kita kembali ke alam nyata.Alam yang penuh dengan sungutan dan Rungutan.

Alam yang dihuni manusia yang resah, gelisah, susah dan menyampah dengan ekonomi yang terumbang ambing dan janji-janji yang dimungkiri.Janji sebuah negara yang sejahtera, aman dan makmur seperti diuar-uarkan di dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Negara cemerlang, gemilang, terbilang yang suatu masa dulu didendangkan.Siapa yang hendak kita percaya? Rakyat jelata yang berkata mereka semakin menderita? Para pembesar pemerintah yang mendakwa semuanya terkawal dan terjaga? Pembangkang yang menuduh kerajaan lemah, rasuah dan tidak berdaya? Atau ramalan pesimis para pakar ekonomi dan penganalisis?

Mari kita pertimbangkan fakta berikut:

1. Pada 2 Julai, akhbar New Straits Times memetik Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, sebagai meramalkan kemungkinan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini jatuh di bawah paras 5 peratus;

2. Dia meramalkan inflasi bulan lalu (Jun) melonjak naik pada kadar 6-7 peratus akibat kenaikan harga minyak berbanding inflasi bulan Mei pada kadar 3.8 peratus;

3. Beberapa hari kemudian, Reuters memetik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata ekonomi masih boleh berkembang pada kadar 5 peratus kerana fundamental ekonomi kukuh;

4. Pada 18 Julai, akhbar The Sun memetik Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (Mier), Prof. Emeritus Dr Mohamed Ariff, sebagai berkata bahawa MIER telah menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi daripada 5.4 peratus kepada 4.6 peratus;

5. Firma penyelidikan pasaran modal, CIMB Research melaporkan bahawa pelabur asing telah membuat penjualan besar-besaran menyebabkan harga saham-saham kegemaran pelabur asing seperti MRCB, Gamuda, Air Asia, Media Prima, Bursa Malaysia, Resort World, IJM Corp., SP Setia dan UM Land jatuh hingga 57 peratus di Bursa Malaysia sepanjang separuh pertama tahun ini;

6. Seorang billionaire Cina yang menerajui sebuah syarikat papan pertama Bursa Malaysia menyokong jadual peralihan kuasa Abdullah-Mohd Najib tetapi bimbang dalam tempoh itu ekonomi negara akan mengalami penguncupan (recession) kerana kurang perancangan yang meyakinkan;

7. Seorang usahawan Cina mahu Umno segera pulih di bawah kepemimpinan yang lebih berwibawa dan diyakini pelabur;

8. Seorang tauke Cina yang menerajui sebuah syarikat pembinaan papan pertama Bursa Malaysia meramalkan 60 hingga 70 peratus kontrak kecil sudah dimungkiri (defaulted) kerana lambungan kos pembinaan dan kurang permintaan ke atas hartanah; dan

9. Media massa arus perdana yang patuh kepada pemerintah sendiri telah mula menyiarkan secara terbuka berita penderitaan rakyat jelata akibat kenaikan harga minyak dan kos rasa hidup.Nampaknya rakyat jelata tidak ada pilihan selain mencuba sebaik yang mungkin untuk mengekalkan produktiviti dan mata pencarian, berjimat cermat dan menunggu kemunculan kepemimpinan yang lebih cekap dan diyakini selepas era Abdullah.

Ini semua, tidak dapat tidak akan membawa kita kembali kepada kepemimpinan politik, khasnya kepada kemampuan kerajaan mengurus ekonomi dalam krisis dan menjana keyakinan pelabur serta pengguna.

Seorang pembesar politik negara pernah membuat kenyataan berikut dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia Rosnah Majid (sekarang Datuk) yang disiarkan pada 20 Mei, 1984:"Nasib seorang ahli politik banyak bergantung kepada orang suka kepada kita ataupun sebaliknya. Kedudukan dalam politik sentiasa bergantung kepada sokongan. Ahli politik tidak dapat berbuat apa-apa tanpa sokongan.

Inilah hakikatnya."Pembesar itu tidak lain tidak bukan adalah Abdullah Ahmad Badawi. (Sila rujuk buku "Koleksi Temuramah Khas Tokoh-Tokoh" karya Rosnah Majid, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.).

Anekdot: Sebuah cawangan Umno di dalam bahagian Kuantan mencalonkan Mohd Najib Abdul Razak untuk bertanding jawatan Presiden Umno. Adakah ini riak di permukaan tasik yang damai abadi atau permulaan kepada badai tsunami di permukaan lautan yang bergelora?

Habis

Comments

Popular Posts