Apa nak jadi ?
IHP Jun naik 7.7 peratus, inflasi diramal kekal tinggi
Oleh Abdul Razak Raaff dan Kamarulzaidi Kamis
bhnews@bharian.com.my
PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP), pengukur kadar inflasi pada Jun lalu meningkat kepada 7.7 peratus daripada 3.8 peratus pada bulan sebelumnya berikutan kenaikan harga petrol dan diesel pada 5 Jun lalu dengan purata IHP bagi enam bulan pertama tahun ini 3.7 peratus.
(Akhbar The Star memberitahu kenaikan tersebut adalah yang tertinggi sejak 27 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1981 yang mencatatkan IHP 10.8 peratus)
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata peningkatan IHP disebabkan kenaikan indeks makanan, minuman bukan alkohol, perumahan, air, elektrik, gas, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, restoran, hotel dan pelbagai barangan dan perkhidmatan.
Katanya, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada bulan lalu meningkat 10 peratus dan bukan makanan naik 6.7 peratus.
"Kenaikan disebabkan peningkatan harga barangan keperluan seperti beras, roti, susu, sayuran, daging dan ikan. Ini juga berpunca daripada ketidakcekapan sistem pengedaran barangan keperluan harian subsidi tidak sampai kepada pengguna di kawasan luar bandar," katanya pada sidang media bagi mengumumkan data itu di pejabatnya, di sini semalam.
Shahrir berkata, kelemahan sistem pengedaran menyebabkan harga barang keperluan seperti tepung gandum biasa, beras Super Special Tempatan (SST) 15 peratus hancur, minyak masak di kawasan luar bandar meningkat.
"Saya sering mendapat aduan bahan makanan subsidi sukar diperoleh dan jika ada pun cepat habis. Ini biasanya berlaku di luar bandar akibat sistem pengedaran di semua peringkat hingga kepada peniaga," katanya.
Sehubungan itu, kertas cadangan menubuhkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjadi pengedar utama bekalan barangan keperluan di negara ini bagi menangani masalah sistem pengedaran akan dibentang-kan ke Kabinet tiga minggu lagi.
"Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Mara menunjukkan minat untuk memainkan peranan secara langsung dalam sistem pengedaran supaya pengguna berpendapatan rendah mudah memperoleh barang keperluan harian subsidi," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata kenaikan tinggi IHP bulan lalu sudah dijangka susulan penstrukturan semula subsidi bahan api serta kenaikan harga barangan makanan.
“Kami menjangka inflasi pada bulan ini (Julai) kekal tinggi sekitar tujuh peratus sebelum susut sedikit antara enam hingga tujuh peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya
Semalam, Singapura mengumumkan kadar inflasi bagi Jun meningkat 7.5 peratus, tertinggi dalam tempoh 26 tahun, manakala Korea Selatan merekodkan peningkatan 5.5 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Kelmarin Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjur kadar inflasi Asia tahun ini secara umumnya dijangka meningkat, didahului Vietnam 19.4 peratus, Indonesia (10.1 peratus), Filipina (7.2 peratus), China (tujuh peratus), Thailand (6.1 peratus), Singapura (5.8 peratus), Hong Kong (4.7 peratus), sementara Malaysia dan Korea Selatan masing-masing 4.1 peratus.
ULASAN
Aku melahirkan rasa bimbang dengan arah ekonomi negara, sekarang pun kita sudah dengar berlaku pembuangan kerja di beberapa buah kilang menguatkan lagi perasaan bahawa sememangnya kita ada masalah.
Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi membendung perkara ini, walaupun ada beberapa langkah yang dilihat positif tetapi ia masih belum cukup kuat untuk memastikan ekonomi negara terutama rakyat dapat dikukuhkan.
Hentikan berpolitik dan teruskan perjuangan untuk membangunkan negara. Keadaan sekarang memperlihatkan pembangkang semakin kukuh dan kerajaan Barisan Nasional pula seolah-olah kehilangan arah.
BN bukan sahaja menerima asakan daripada luar parti tetapi daripada dalam parti sendiri. Semakin ramai yang mula berani menyatakan pandangan masing-masing dan menunjukan taring mereka yang sebenar tambahan pula pemilihan parti semakin hampir.
Aku harap sesuatu perlu dilakukan segera, pulihkan ekonomi negara !
Comments