Tidak Gentar
PETIKAN KOSMO!
KUALA LUMPUR – “Kami dah tak kisah... nak buat operasi buatlah, kami tak akan berselindung lagi kerana inilah realiti sebenar yang kami hadapi.’’
Begitulah keluhan peniaga daging import di Pasar Chow Kit, Azlizam Ahmad, 33, yang tertekan dengan kenaikan harga bekalan itu sehingga terpaksa menjualnya melebihi harga siling.
Tegasnya, tindakan secara berterus-terang itu bukan mahu mencabar pihak berkuasa sebaliknya beliau mahu semua pihak termasuk pihak berkuasa memahami masalah para peniaga.
Cerita Azlizam, ketika ini daging import dijual RM12 sekilogram selepas membelinya RM9.80 sekilogram dari pemborong.
“Harga itu jauh berbeza berbanding sebelum kenaikan harga minyak kerana pemborong meletakkan harga sekitar RM7.80 manakala harga jualan RM9,’’ jelas beliau.
Dakwa Azlizam, kenaikan harga daging lebih buruk berbanding ayam kerana dalam tempoh dua minggu lalu, harganya melonjak naik RM2 hingga RM3 sekilogram.
“Sekarang ni kalau kami tak naikkan harga, kami rugi... jadi lebih baik kena saman (oleh pihak berkuasa) daripada rugi banyak. Kami tak nak ‘main wayang’ lagi.
“Kami sebenarnya benar-benar tertekan. Macam mana nak cari makan sebab harga daging melonjak mendadak sebanyak RM2 sekilogram sejak dua minggu lalu,” katanya yang turut memberitahu pemborong juga tertekan dengan senario itu.
Comments