Bertempur patin di lubuk udang galah

JORAN - http://joran.bharian.com.my/

Oleh Zulkarnain Omar

MUADZAM SHAH: Udang galah adalah sasaran utama pada sesi kali ini. Air sungai yang tenang meyakinkan lagi pemburuan. Pilihan tempat kali ini agak sedikit jauh iaitu di lubuk lais.

Kali ini penulis berseorangan. Tiada rakan yang menemani. Dua puluh minit perjalanan, kelihatan dari jauh kabus tebal menyelubungi kawasan lubuk. Setelah sauh diturunkan, empat joran yang siap dicangkuk umpan dilabuhkan.

Kini mata memerhati tajam hujung joran yang halus. Sebarang gerakan petanda itu adalah si sepit biru yang empunya angkara mengusik jerat yang dipasang.Hampir 10 minit berlalu, hanya udang besar jari kelingking yang menjamah umpan.

Ini cukup membosankan kerana dua tempat sudah dilabuhkan sauh. Dalam kesunyian, penulis dikejutkan libasan ekor sang patin yang kemerahan beberapa meter saja dari tempat bot berlabuh.Penulis mengambil keputusan menukar tajuk dengan mencapai joran aksi sederhana ringan.

Berumpankan buah sawit yang dibawa, balingan tepat dilakukan di kawasan patin muncul di pertengahan sungai. Dua kali umpan terpaksa ditukar kerana pudar disebabkan lama berendam namun patin masih lagi mendiamkan diri.

Lontaran ketiga dilakukan. Kali ini lontaran berubah arah. Pilihan kali ini ialah tepian tebing sungai yang terdapat sedikit bungkah kayu. Hanya beberapa ketika terlihat hujung joran ditarik perlahan tetapi berterusan menyebabkan ia terus melentur.

Rembatan balas dilakukan serta-merta bagi mengemaskan lagi tusukan mata kail pada rahang mulut mangsa.Seperti biasa, perangai patin dapat dibaca dengan larian ke tengah dan berlawan arus kemudian melakukan benaman rapat ke dasar.

Gaya ini meringankan sedikit bebanan tarikan. Namun bagi penulis, inilah spesies yang cukup menyeksakan kerana kedegilan menyerah kalah.

Mangsa berjaya ditarik hampir dengan bot. Namun pertarungan belum bertitik noktah. Menyedari dirinya bahaya, mangsa membuat pecutan laju, lurus dan rapat ke dasar.

Permasalahan mula timbul apabila larian kini menuju ke bawah bot. Bukan itu saja malahan berhampiran pacakan kayu rawai.Joran dihulurkan ke depan bot bagi membetulkan arah posisi kedudukan.

Kekili tidak henti berbunyi manakala tali meluncur laju keluar dari gelendung. Setelah beberapa ketika, mangsa makin lemah dan menyerah diri akhirnya.

Inilah satu dari kalangan spesies yang diminati untuk bertempur dan melenguhkan tangan melayannya walaupun seberat 3 kilogram. Tidak sama pertempuran di kolam yang kawasannya terhad dan tiada halangan yang begitu ketara dan mencabar pengalaman si pemancing.

FAKTA : Patin

Nama saintifik: Pangasius pangasiusSaiz:
Mencecah 30 kilogram
Makanan: Buah seperti ara, jambu hutan di tepi sungai.
Umpan: Dedak, cacing, cengkerik.
Mata kail: Saiz 14Tali: 10 hingga 15 paun.
Joran: Aksi sederhana ringan.
Nama lain: Pating, mating-pating dan kuros na pating di Filipina; patinha di Brazil, pirapatinga di UK dan pla buk di Thailand.

Comments

Popular Posts