Ketumbuhan usus besar

Dipetik daripada KOSMO!

BERI perhatian jika anda mengalami pendarahan ketika membuang air besar dan tabii membuang air besar anda menunjukkan perubahan corak kekerapan.
“Pendarahan ketika membuang air besar dan perubahan kekerapan membuang air besar seperti daripada sekali sehari kepada tiga kali sehari adalah simptom kepada kanser kolorektal (usus besar).
“Jika itulah keadaannya, risiko anda mempunyai ketumbuhan pada usus besar adalah sehingga 70 peratus,” kata Pakar Perunding Pembedahan Kolorektal dan Surgeri Am di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr. Ismail Sagap.
Menyatakan bahawa bilangan kes berkaitan penyakit ini kini semakin meningkat di seluruh dunia, Jabatan Surgeri HUKM dilaporkan telah menjalankan penyelidikan secara audit untuk membuktikan situasi semasa itu.
“Daripada 68,000 kes kanser yang dilaporkan pada tahun 2003 di Malaysia, antara sembilan hingga 10 peratus daripadanya adalah kanser kolorektal.
“Fakta itu meletakkannya pada kedudukan ketiga atau keempat sebagai pembunuh senyap, sama ada secara agresif ataupun tidak,” bentang Ismail.
Penyelidikan yang dijalankan ke atas 100 kes kanser kolon untuk tempoh lima tahun antara 1997 hingga 2005 itu menemukan corak kecenderungan mengikut bangsa dan genetik.
“Sebanyak 52.3 peratus daripada jumlah itu adalah Cina, 43 peratus Melayu, dan 2.8 peratus India,” tambahnya.
DR. ISMAIL SAGAP
Penyelidikan ini turut menemukan satu berita yang merunsingkan, iaitu purata usia penghidap adalah 57.5 tahun lebih muda berbanding penghidap di negara Barat iaitu kira-kira 60 tahun. Usia penghidap paling muda setakat ini ialah 21 tahun.
Menyebut bahawa faktor genetik boleh dipengaruhi oleh banyak aspek luaran, makanan masih mendapat perhatian biarpun ia tidak menunjukkan kesan yang jelas sama ada sebagai punca atau penyebab kanser.
“Sukar untuk kita mengenal pasti sama ada makanan daripada jenis tertentu ialah salah satu punca kanser kolorektal kerana rata-rata semua orang mengambil makanan yang sama.
“Bagaimanapun, pengambilan makanan yang dibakar seperti daging stik sudah sekian lama mendapat perhatian sebagai penyumbang kepada kanser,” kata Ismail.
Menjelaskan faktor genetik tidak bermaksud ia penyakit yang diwarisi, keterukan kanser yang dihidapi dapat dibahagikan kepada empat peringkat.
Peringkat A, iaitu peringkat paling awal menunjukkan kadar survival lebih daripada 80 peratus. Pada peringkat ini penghidap dapat dirawat, selamat dan seterusnya sembuh daripada kanser.
Peringkat seterusnya, B dan C, iaitu melarat, menunjukkan kemungkinan ia dapat dirawat mencecah sehingga 70 peratus.
Peringkat melarat dan kronik yang diwakili peringkat D pula sudah tipis peluangnya kerana pada peringkat ini kanser sudah merebak kepada hati, paru-paru dan tulang.
Merujuk hasil penyelidikan itu, seramai 70 peratus daripada populasi penghidap kanser kolorektal di HUKM daripada peringkat B dan C, dan 20 peratus daripadanya berada di peringkat D. Kurang daripada 10 peratus berada di peringkat A.
Ini bermakna penghidap dikesan menghidap kanser ini pada peringkat melarat dan ke atas.
“Pesakit pada puratanya mengambil masa sehingga 13 minggu untuk tampil dan merujuk keadaan mereka kepada doktor. Pada peringkat ini, pesakit boleh dikatakan sudah terlewat dan kanser mungkin sudah melarat jika ia adalah agresif,” ujar Ismail.
Cara mendiagnosis kanser kolorektal
Memeriksa najis (screening)
Sekiranya mengandungi darah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Kolonoskopi
Kaedah memasukkan tiub kolonoskopi berkamera ke dalam usus melalui lubang dubur ini agak agresif dan tidak dapat diterima ramai, terutama mereka yang sihat. Bagaimanapun kaedah ini adalah terbaik kerana doktor dapat melihat dalaman kolon secara tiga dimensi pada skrin paparan.
Histopatologi
Kajian struktur mikroskopik ke atas sel yang sakit, dibantu oleh rawatan radiologi serta imbasan tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonan bermagnet (MRI).

Comments

Rina Rossoneri said…
hello..boleh saya tahu artikel ini ditulis oleh siapa? terima kasih

Popular Posts