Kenaikan Sara Hidup Terus Mengancam

Dipetik daripada http://kadirjasin.blogspot.com/

A Kadir Jasin

ADA sesetengah pembesar yang mewakili kabinet dan perkhidmatan awam nampaknya tidak sabar-sabar menghebahkan perkhabaran buruk kepada rakyat jelata.Manakala yang lain pun bermati-matian menafikan kesahihan berita itu.Pihak yang pertama nampaknya tidak dapat lagi menunggu sehingga selepas musim perayaan untuk menyampaikan berita-berita yang mendukacitakan itu.

Apa pun tujuan mereka, berita-berita itu pastinyalah menjadi bahan hangat perbualan pada perayaan Aidilfitri, Deepavali dan Krismas nanti apabila rakyat Malaysia berduyun-duyun balik kampung atau keluar bercuti.Pada 30 September, Menteri Kerja Raya S Samy Vellu mengumumkan yang kadar tol lebuh raya akan naik 10 peratus di kesemua lapan lebuh raya bertol tahun hadapan.

Beliau berkata pemegang konsesi memohon kenaikan 10 peratus mulai awal tahun hadapan tetapi kementeriannya sedang memikirkan formula yang sesuai agar kenaikan itu dikongsi bersama oleh pengguna dan kerajaan.

Semestinyalah begitu kerana di masa sahaja kita melalui lebuh raya baru sedang dibina atau yang sedia ada dinaikkan taraf, terpampang papan-papan tanda yang berbunyi “Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional”.Kemudian pada 3 Oktober, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Markiman Kobiran berkata pengusaha pengangkutan awam telah memohon untuk menaikkan kadar tambang antara 100 hingga 600 peratus mulai tahun depan dengan alasan kos operasi yang semakin meningkat.

Utusan Malaysia memetik beliau sebagai berkata, kadar tambang baru untuk semua jenis pengangkutan awam akan diumumkan pertengahan tahun depan dengan mengambil kira kenaikan kos operasi.“Kita tidak akan terima bulat-bulat pandangan mereka. Banyak penilaian perlu dibuat tetapi kita juga mengambil kira kenaikan kos operasi terutamanya bahan api yang mencecah sehingga 60 peratus.”Tiga hari selepas Samy Vellu membuat pengumuman itu, Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak bertanya mengapa perlu membuat spekulasi mengenai hal itu kerana kabinet belum membuat apa-apa keputusan.

Jadi siapa yang hendak kita percayai – Mohd Najib atau Samy Vellu?Apa juga kesudahannya, kenaikan kos dua komponen utama pengangkutan ini – tambang dan tol – sudah pasti anak menaikkan lagi kos pengangkutan yang sekali gus akan memberi kesan buruk kepada kos sara hidup.Anehnya pihak berkuasa terus mendakwa kadar inflasi yang rendah – malah semakin rendah -- sedangkan harga hampir semua barangan dan perkhidmatan pengguna telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kalau anda bergiat dalam dunia perniagaan, anda pasti tahu bahawa kos hampir semua faktor pengeluaran semakin meningkat manakala permintaan berkurangan dan hutang lapuk bertambah.Kenaikan harga pengguna dan kadar inflasi mungkin antara punca mengapa kadar kenaikan jualan runcit lembap tahun ini berbanding tahun lalu.Mungkin pemerintah perlu menyegerakan bancian bagi menyusun semula komposisi “bakul” yang digunakan untuk mengira indeks harga pengguna agar lebih mencerminkan keadaan sebenar.

Tiada gunanya mendakwa kadar inflasi yang rendah jika nilai mata wang merosot dan kuasa membeli merudum. Pengguna akan tahu juga keadaan sebenar setiap kali mereka membeli belah.

Saya yakin Mohd Najib yang mempunyai cukup pengetahuan mengenai pengurusan ekonomi makro dan mikro sedar bahawa perangkaan yang menyimpang daripada keadaan sebenar tidak berintegriti dan boleh menyebabkan “ketempangan” ekonomi (economic distortion).

Comments

Popular Posts