Banjir Di Johor Tidak Banyak Berubah

JOHOR BAHARU, 21 Jan (Bernama) -- Keadaan banjir di Johor tidak menunjukkan banyak perubahan terutama dari segi jumlah mangsa banjir di Batu Pahat.Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berkata secara keseluruhannya jumlah mangsa banjir di 122 pusat pemindahan di negeri ini sehingga pukul 8 pagi Ahad adalah 50,907 orang.Batu Pahat masih mencatat jumlah mangsa paling ramai, 49,496 orang di 112 pusat pemindahan.Di Kota Tinggi, mangsa yang masih tinggal di pusat-pusat pemindahan ialah 1,108, Mersing (103), Muar (57), Segamat (63) dan Johor Baharu Selatan (80).Semua pusat pemindahan di Kluang telah ditutup hari Ahad menjadikan tiga daerah di Johor termasuk Pontian dan Johor Baharu Utara menutup pusat-pusat pemindahannya hari Ahad.Kesemua jalan utama di Johor sudah boleh dilalui sejak Khamis.Sementara itu, di SABAH, keadaan banjir di Kinabatangan beransur pulih selepas paras air Sungai Bukit Garam berada pada tahap biasa iaitu 9.24 meter pada pukul 8 pagi Ahad berbanding 9.50 meter pukul 4 petang Sabtu.Bagaimanapun, jumlah mangsa yang dipindahkan masih sama seperti Sabtu iaitu seramai 67 orang daripada 13 keluarga.Seramai 33 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Balai Raya Bukit Garam, manakala 34 mangsa daripada enam keluarga pula berpindah ke rumah saudara-mara.Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pejabat Daerah Kinabatangan berkata mangsa yang dipindahkan belum lagi balik ke rumah masing-masing kerana bimbang air sungai akan naik semula."Ada juga antara mereka masih membersihkan rumah yang kotor akibat dinaiki air banjir," katanya kepada Bernama.-- BERNAMA

Comments

Popular Posts